|
New Page 1
LAHIRNYA SEBUAH INSTITUSI
BERMULALAH SATU ERA..........
Pada 1958, sebuah darjah menengah pengantar Melayu telah dibuka di Kolej Sultan
Abdul Hamid, Alor Setar dengan bilangan pelajar seramai 31orang. Kumpulan
perintis ini telah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran yang pertama
kali diadakan dalam Bahasa Malaysia pada tahun 1960.
Pada
tahun berikutnya bilangan pelajar darjah menengah tersebut telah berkembang
menjadi 268 orang pelajar daripada tingkatan satu hingga tingkatan empat.
Kumpulan pertama daripada pelajar-pelajar ini telah menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Persekutuan iaitu yang pertama kali diadakan berpengantar Bahasa
Malaysia pada tahun 1962. Daripada 43 orang calon, 36 daripadanya lulus dan 18
orang daripadanya pula telah berjaya menyambungkan pelajaran mereka ke tingkatan
enam di Sekolah Alam Shah.
Memandangkan jumlah penuntut Pengantar Melayu yang semakin bertambah sebuah
sekolah menengah berpengantar Bahasa Malaysia diperlukan. Justeru itu lahirlah
Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH). Namun begitu, penuntut-penuntut
SMSAH masih ditempatkan di Kolej Sultan Abdul Hamid, dengan Encik Ahmad bin Md.
Isa memangku jawatan Pengetua pada ketika itu.
Tanggal 7 Mei 1963, SMSAH mendapat bangunannya sendiri di tempat yang ada
sekarang iaitu berhadapan dengan Ladang Jenan. SMSAH terletak dalam satu kawasan
seluas lebih 51 ekar di kilometer 16 Jalan Alor Star - Jitra. Ketika itu SMSAH
terdiri daripada 27 buah bilik darjah, sebuah dewan besar dan sebuah jimnasium.
Dua buah daripada bilik darjah digunakan sebagai asrama untuk penginapan 100
orang pelajar. Mulai saat itu SMSAH lebih dikenali oleh masyarakat tempatan
sebagai 'Jenan' kerana kedudukannya.
Yang berhormat Senator Dr. Mahathir bin Mohamad (sekarang Dato' Seri Perdana
Menteri kita) dan Yang Berhormat Dato' Shaari bin Daud, bekas Setiausaha
Kerajaan Negeri Kedah yang pada masa itu menjadi Pegawai Daerah Kota Setar telah
dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengelola Sekolah di mana Yang Berhormat Senator
Dr. Mahathir bin Mohamad telah dipilih sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola yang
pertama sekolah ini.
Sepanjang dekad enam puluhan SMSAH telah mengalami perkembangan pesat supaya
menjadi sebuah institusi pendidikan yang mantap bagi memenuhi aspirasi negara
yang baru merdeka ketika itu. Pada 1 Januari 1964 era SMSAH bermula dengan
diterajui oleh Encik Ahmad bin Haji Saleh (sekarang bergelar Dato') sebagai
Pengetua SMSAH. Bilangan penuntut pada masa itu ialah seramai 1174 orang iaitu
terdiri daripada pelajar tingkatan satu hingga tingkatan lima. Pada bulan
Februari, sebanyak tiga buah bangunan asrama dan sebuah masjid telah mula dibina
dan siap pada tahun yang sama.
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Abdul Halim Muazzam Shah, Sultan Kedah telah
merasmikan pembukaan SMSAH pada 8 April 1965.
Kelas Tingkatan Enam Sastera dengan pelajar-pelajar seramai 34 orang dimulakan
di sini pada 26 Mac 1966. Sekolah ini merupakan sekolah kedua di tanahair yang
memulakan kelas ini selepas Sekolah Alam Shah.
Pada 14 Oktober 1966, masjid sekolah diwartakan oleh Pejabat Hal Ehwal Agama
Kedah sah untuk sembahyang Jumaat.
Kerja-kerja membina padang permainan sekolah pula telah dimulakan pada 24
November 1966.
Pada bulan Februari 1968 pula, lencana sekolah yang baru diperkenalkan. Sebulan
selepas itu, kerja-kerja membina asrama puteri bermula.
Pada tahun 1969 SMSAH menjadi sekolah menengah atas dengan penempatan
pelajar-pelajar tingkatan empat, lima dan enam sahaja. Serentak dengan itu
pengambilan pelajar tingkatan satu dihentikan. Asrama puteri pula telah siap
untuk digunakan.
Sementara itu masjid sekolah pula telah mendapat kebenaran secara rasmi daripada
KDYMM Sultan Kedah untuk mengadakan fardhu Jumaat pada 25 Mei dan dinamakan
Masjid Muadzam.
1 Januari 1972, SMSAH menjadi Sekolah Berasrama Penuh dengan 15 kelas sains dan
10 kelas sastera bersama 42 orang guru dengan Tingkatan 4, 5 dan 6. Langkah ini
telah mengurangkan jumlah pelajar menjadi 863 orang sahaja. Sejak itu juga
pentadbiran sekolah ini telah diletakkan terus di bawah Kementerian Pendidikan.
1974, SMSAH mengambil semula pelajar-pelajar tingkatan satu. Jumlah pelajar pada
tahun ini ialah 726 orang. Pada 19 Januari 1974, Tuan Haji Lokman bin Musa dan
rombongannya berbincang tentang memulakan kelas Matrikulasi UKM di SMSAH.
Pada tahun 1975, kelas Matrikulasi UKM dimulakan dengan 39 orang pelajar.
1980, SMSAH mula menerima 12 orang pelajar Yayasan Sabah dan 8 orang pelajar
Yayasan Sarawak. Pelajar- pelajar tersebut adalah dari tingkatan 1 hingga Kursus
Matrikulasi.
Pada tahun 1982 Bahasa Arab diperkenalkan di sekolah ini. Ia bertujuan supaya
pelajar-pelajar dapat mendalami Agama Islam melalui Bahasa Arab itu sendiri
serta memberi peluang kepada pelajar-pelajar menyambung pelajaran ke
negara-negara Timur Tengah. Masa yang diperuntukkan ialah 3 kali seminggu.
Pada pertengahan tahun 1984, mata pelajaran Bahasa Jepun diperkenalkan bagi
mencerahkan lagi peluang para pelajar mengikuti program melanjutkan pelajaran ke
negara Jepun. Program ini mula diperkenalkan pada tahun 1983 oleh Jabatan
Perkhidmatan Awam.
Tahun 1985 merupakan tahun terakhir SMSAH mempunyai pelajar tingkatan enam.
Mulai tahun 1986 Kursus Matrikulasi UKM tidak lagi dijalankan di sini.
Kekosongan ini diambilalih oleh pelajar-pelajar Kursus Matrikulasi UUM.
Walaubagaimanapun pada tahun 1991, Kursus Matrikulasi UUM telah berpindah ke
Kampus UUM Sintok. Dengan itu pengambilan pelajar-pelajar Tingkatan Empat
ditambah melalui pengambilan pelajar- pelajar sekolah harian yang mencapai
keputusan cemerlang dalam PMR untuk menjadi warga Jenan sehinggalah sekarang.
|