Tentang Sekolah

SEJARAH SEKOLAH

Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (SMSAH) ialah sebuah sekolah berasrama penuh berstatus premier yang terletak di Jitra, Kedah. Ditubuhkan pada tahun 1963 di bawah cadangan Penyata Razak, ia merupakan sekolah berasrama penuh pertama di Kedah dan di antara yang terawal di Malaysia.

Penubuhan SMSAH adalah selari dengan keperluan pendidikan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar selepas kemerdekaan pada tahun 1957. Sekolah ini adalah kesinambungan kelas aliran Melayu yang diwujudkan di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar pada tahun 1958 iaitu sejurus selepas merdeka. Bermula dengan 31 orang pelajar di  KSAH, bilangan ini telah meningkat kepada 791 orang pelajar pada tahun 1963. Pertambahan bilangan pelajar ini menyebabkan pelajar aliran Melayu di KSAH dipindahkan ke bangunan sendiri yang ada sekarang pada tanggal 7 Mei 1963. Bangunan yang pada mulanya terdiri dari 27 bilik darjah, sebuah dewan besar, sebuah gimnasium, kafeteria dan 2 bilik darjah yang dijadikan asrama telah dilengkapkan pula dengan tiga bangunan asrama dan sebuah masjid pada tahun 1964. Pada 8 April 1965, DYMM Sultan Kedah iaitu Sultan Abdul Halim Muadzam Shah telah berkenan untuk merasmikan sekolah ini.